Minda: Matlamat ke sekolah masih kurang difahami

(Harian Metro – 31 March 2011)

 

DALAM masa singkat kita dikejutkan dengan tiga masalah membabitkan disiplin pelajar. Pertama, di Perlis, seorang ketua kelas yang dibelasah sekumpulan sepuluh orang pelajar di luar kelas. Menariknya, ketua kelas yang sedang belajar itu tiba-tiba ditarik keluar dari kelas dan dibelasah sehingga patah tangan kirinya.

Di Kuala Lumpur pula, dua pelajar mengubah suai mercun bola dan lingkaran nyamuk kemudian cuba meletupkan bangunan sekolah selepas mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan seorang guru. Walaupun tidak berlaku sebarang kecederaan dan kerosakan akibat tiga letupan yang dilakukan, tindakan itu dianggap berani dan mencabar kuasa sekolah dan badan disiplin.

Di Negeri Sembilan, seorang pelajar sekolah tahfiz cedera dibelasah selepas disyaki mencuri wang di asrama pusat tahfiz berkenaan.

Kita nampak dalam kes ini bahawa badan bertindak menangani disiplin bukan hanya daripada badan yang dibentuk oleh sekolah, tetapi wujud pula badan bebas yang bertindak sesuka hati dan di luar kawalan.

Kita tidak dapat membayangkan apa lagi yang akan berlaku di sekolah suatu masa nanti. Kisah pelajar menumbuk dan mencederakan guru sudah berlaku, pelajar merosakkan harta benda dan kereta guru pun sudah ada, peras ugut dan gengster juga banyak berlaku dan tidak pernah selesai meskipun pelbagai ikhtiar dilakukan.

Semua ini memperlihatkan betapa sekolah kini menghadapi krisis disiplin semakin serius dan membimbangkan sedangkan sekolah adalah institusi untuk menimba ilmu pengetahuan dan mengamalkan pelbagai nilai murni, bukan sebaliknya

Menangani masalah disiplin pelajar perlu dipikul pelbagai pihak. Selain daripada ibu bapa dan sekolah sebagai dua pihak penting yang mesti mengawal tingkah laku pelajar, masyarakat sekeliling tidak boleh lepas tangan dalam menangani masalah ini.

Masalah disiplin di sekolah sebenarnya berpunca daripada pelajar bermasalah. Kebanyakan daripada mereka tidak berminat untuk belajar atas sebab-sebab tertentu. Malah, atas faktor tertentu ada juga pelajar yang pada awalnya memperlihatkan prestasi yang baik dalam pelajaran tiba-tiba bertukar menjadi pelajar bermasalah dan menimbulkan masalah pula di sekolah.

Dalam satu kenyataan oleh Datuk Noh Omar ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran, ramai antara pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah atas kesalahan disiplin gembira dengan tindakan yang dikenakan ke atas mereka. Oleh itu, masalah disiplin yang berlaku sama ada di kawasan sekolah mahupun di luar berpunca daripada kurangnya kefahaman pelajar mengenai tujuan mereka ke sekolah iaitu untuk membentuk masa depan menjadi seorang warga negara yang dapat menyumbang jasa kepada negara.

Tidak ada ibu bapa yang berpesan kepada anak-anak mereka supaya pergi bergaduh di sekolah, mencuri barang atau wang rakan, melawan cakap guru dan merosakkan harta benda sekolah apatah lagi membakar sekolah.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mesti memainkan peranan lebih aktif menangani masalah disiplin di kalangan pelajar. Kepada pelajar yang kurang minat belajar, fokus mesti diberikan kepada golongan bermasalah ini supaya masalah disiplin tidak terus menjadi barah yang mampu menjejaskan masa depan mereka dan menjejaskan nama baik sekolah. Pemahaman pelajar mengenai peraturan di sekolah sangat penting walaupun tujuan asal mereka ke sekolah sudah menyimpang. Apa pun pelajar mesti diasak supaya menghormati peraturan sekolah agar segala apa yang ada di kawasan sekolah juga dihormati.

Sama juga di rumah, ibu bapa mesti menekankan kepada anak-anak yang bersekolah supaya menghormati mereka, guru, orang tua dan lain-lain yang perlu dihormati supaya mendapat keberkatan dalam hidup.

Pelbagai bentuk denda yang dikenakan ke atas pelajar yang terbabit dengan gejala disiplin di sekolah seolah-olah tidak mampu mengekang masalah ini.

Menurut statistik, hukuman buang sekolah di seluruh negara mencatatkan 5,025 kes pada 2003; 5,427 (2004); 7,493 (2005) dan 2,526 (2006). Manakala jumlah yang digantung persekolahan atas pelbagai kes dua kali ganda jumlahnya daripada jumlah tindakan buang sekolah.

Pelbagai pihak bimbang jika tindakan buang dan gantung persekolahan dikenakan ke atas pelajar menyebabkan pelajar lain mengambil kesempatan melakukan kesalahan dengan harapan mereka juga akan dikenakan tindakan sama. Ini adalah penyakit malas belajar kerana setelah diasak dengan pelbagai nasihat betapa pentingnya ilmu, pelajar tidak terbuka hati untuk belajar. Pada 2008, kes pelajar perempuan menendang gurunya di Perlis yang mendapat liputan meluas telah dikenakan hukuman buang sekolah dan diikuti tiga rakannya yang turut dikenakan hukuman sama kerana terlibat dengan pergaduhan di sekolah itu.

Ramai berpendapat hukuman buang sekolah tidak begitu sesuai kerana apa akan jadi dengan pelajar ini selepas tidak berada lagi di alam persekolahan. Namun, jika dibiarkan pelajar bermasalah ini, tidak hairan jika rakan lain pula akan menuruti mereka dan dibimbangi akan terbentuk pula gengster di sekolah.

Ada yang mempersoalkan kenapa hukuman rotan tidak diperkenalkan semula setelah kaedah kaunseling dan sebagainya dikatakan tidak memberi kesan positif kepada pembentukan semula sahsiah pelajar di sekolah.

Ada yang berharap kementerian menambah jumlah guru lelaki supaya seimbang dengan jumlah guru perempuan yang dikatakan menguasai bidang perguruan. Menurut catatan, terdapat 126,171 guru lelaki manakala guru perempuan 279,545.

Apa pun, seperti dinyatakan tadi, masalah disiplin amat bergantung kepada pelajar itu sendiri. Jika niat asal mereka menjadikan sekolah sebagai tempat mencari ilmu, tidak kira siapa pun yang mengajar mereka, mereka akan menghormati dan tidak akan melakukan pelbagai kesalahan yang boleh menjejaskan cita-cita mereka.

Oleh itu, mereka perlu menghormati undang-undang di sekolah, hormat nasihat ibu bapa dan guru serta menghormati segala ilmu positif yang mereka pelajari kemudian mengamalkannya.

Di China, tadika Linkangyuan, Kunming, menghendaki setiap muridnya membawa sebiji telur ayam mentah ke sekolah dan telur itu mesti dibawa bersama ke mana-mana. Setiap murid mesti membuktikan telur ayam itu tidak pecah sepanjang mereka berada di tadika tersebut dan sebelum pulang ke rumah.

Cara ini dikatakan berkesan kerana murid-murid tidak akan terlompat-lompat, tidak bergaduh dengan rakan dan sebagainya kerana menjaga telur ayam berkenaan. Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan apa yang perlu dibawa oleh pelajar ke sekolah supaya mereka juga tidak terkinja-kinja ke sana ke mari.

(Penulis seorang guru)

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s