Ibu bapa, guru kena kerjasama didik anak

Penggemblengan usaha semua pihak hasilkan pelajar berkualiti pada masa depan

Putrajaya: Persepsi bahawa beban mendidik anak terletak sepenuhnya kepada guru dan sekolah perlu diubah.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, soal pendidikan anak khususnya yang berkaitan dengan aspek membaca, menulis, mengira dan menaakul, memerlukan penggemblengan ibu bapa dan guru dalam usaha menghasilkan pelajar yang berkualiti pada masa depan.

“Setiap ibu bapa diminta meluangkan masa untuk membantu sekolah seperti terkandung dalam Sarana Ibu Bapa merangkumi sumbangan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan.” Sufa’at Tumin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Operasi Pendidikan

Ini bermaksud ibu bapa juga perlu mengambil tahu soal pembelajaran, kebolehan, disiplin serta kemajuan anak masing-masing dengan berkomunikasi rapat dengan guru dan pentadbiran sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Sufa’at Tumin, berkata sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya, tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Lancar inisiatif baru

Justeru, beliau berkata Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan inisiatif Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas, di mana Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah merupakan alat bagi membolehkan pencapaian inisiatif ini.
Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah dapat mengukuh dan meluaskan lagi penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah pencapaian aspirasi murid.

Sarana Ibu Bapa adalah satu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan anak dalam pembelajaran di rumah dan sekolah.

Sufa’at berkata seperti terkandung dalam PPPM, Sarana Ibu Bapa merangkumi empat elemen meliputi penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Katanya, Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi PIBG.

“Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.03 juta murid di lebih 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 13 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.

“Selain mengurus urusan rumahtangga, ibu bapa diminta meluangkan masa bersama anak dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti terkandung dalam Sarana Ibu Bapa.

“Ibu bapa juga diminta melibatkan diri di sekolah secara aktif dan boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk, termasuk idea, tenaga, kepakaran, dan kewangan,” katanya.

PIBG diminta untuk menubuhkan biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah. Melalui KSIB, lebih banyak interaksi, perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku demi mewujudkan hubungan yang bermakna antara ibu bapa dan anak.

Dalam pada itu, Sufa’at berkata dalam Sarana Sekolah, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan KSIB yang banyak diamalkan di negara maju.

Malah, beliau berkata, kebanyakan sekolah di negara maju turut digerakkan bersama oleh ibu bapa bagi melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah dan berharap PIBG mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan kumpulan ini demi masa depan anak mereka.

Sekolah kena tukar imej

“Bagi menarik minat ibu bapa dan anggota masyarakat untuk datang ke sekolah dan terlibat dengan aktif, pihak sekolah perlu mewujudkan suasana mesra dan mengalu-alukan kedatangan ibu bapa dan anggota komuniti. Jika selama ini dirasakan sekolah adalah kepunyaan dan tanggungjawab guru dan murid semata-mata, kini kita mahu rasa kesepunyaan dan tanggungjawab dikongsi bersama oleh ibu bapa dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata ini dapat dicapai apabila pihak sekolah memberi mesej bahawa ibu bapa dan ahli komuniti dialu-alukan, seterusnya mewujudkan suasana kemesraan antara kedua-dua pihak.

“Tiada had umur bagi Ibu bapa dan ahli komuniti yang boleh menyumbang kerana setiap mereka mempunyai kebolehan dan kepakaran yang boleh dikongsi bersama demi melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Sufa’at berkata pendekatan berkenaan juga bakal menambah baik prestasi akademik sekolah serta mempergiatkan lagi kegiatan di luar bilik darjah pada masa depan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta.

“Selain, ibu bapa dan guru, pembabitan masyarakat setempat, GLC dan pihak swasta juga diperlukan dalam menghulurkan bantuan dari sudut luahan idea, pendapat dan bantuan kewangan.

“GLC dan pihak swasta dapat memberi bantuan kepada kumpulan sokongan ini menerusi penambahbaikan kemudahan sekolah, menganjurkan sesi motivasi oleh penceramah berpengalaman dan membantu mengisi tabung PIBG,” katanya.

Kumpulan berkenaan juga boleh membantu sekolah merealisasikan kebitaraan sekolah mereka dengan memberi sokongan dari segi kepakaran, peluang-peluang mengembangkan potensi murid dan guru, membina rangkaian dalam dan luar negara dan pelbagai lagi aspek untuk menjadikan murid cemerlang.

(Sumber : Berita Harian – 2 Julai 2013)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s