Monthly Archives: August 2012

UPSR tidak ditangguh – Bertembung pilihan raya, soalan bocor tidak benar

Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran semalam menegaskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini tidak ditangguhkan dan akan berlangsung mengikut jadual sedia ada.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata peperiksaan UPSR akan diadakan pada 11 hingga 13 September ini seperti yang ditetapkan dalam takwim kementerian.

Berita mengenai penangguhan tidak benar kerana UPSR tetap ikut jadual iaitu 11, 12 dan 13 September” – Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran

Beliau sekali gus menafikan khabar angin yang mencetuskan kekecohan dalam kalangan ramai ibu bapa dan calon bahawa peperiksaan itu ditangguhkan atas sebab tertentu.

Hanya khabar angin

“Berita berkenaan (penangguhan) tidak benar. UPSR tetap seperti jadual, iaitu 11, 12 dan 13 September,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada BH.

Khabar angin mengenai penangguhan peperiksaan UPSR tahun ini dipercayai berpunca daripada pelbagai dakwaan, antara lain untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan berlaku kebocoran kertas soalan di negeri tertentu.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata kertas soalan untuk peperiksaan UPSR tahun ini sudah disimpan dalam bilik kebal setiap negeri.

Persiapan berjalan lancar

Justeru, katanya, sebarang penangguhan UPSR akan menyebabkan ‘pertembungan’ penggunaan bilik kebal itu untuk menyimpan kertas soalan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijadualkan bermula pada 9 Oktober depan.

Katanya, semua persiapan akhir sedang dibuat, termasuk pihak sekolah merancang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin dalam waktu terdekat.

“Justeru, ibu bapa dan calon dinasihati tidak terpengaruh dengan khabar angin itu, sebaliknya memfokus kepada persediaan mental dan emosi untuk menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi,” katanya

(Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UPSRtidakditangguh/Article)

NUR ALERT: Kanak-Kanak Hilang Sathiskumar A/L Tamilvanan

(Sumber : Sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia)

Tambahan Cuti Berganti Sempena Hari Raya Puasa 2012

16, 17 Ogos 2012 cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR 10 Ogos 2012 – Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos 2012 ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos 2012.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.

Bagi tujuan penyelarasan, kementerian mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos 2012 diganti pada Sabtu, 8 September 2012 manakala cuti berganti 17 Ogos 2012 diganti pada Sabtu, 22 September 2012.

(Sumber: BERNAMA)

Kementerian Pelajaran Tidak Halang Inisiatif PIBG Kumpul Dana

Jumaat Ogos 10, 2012 IPOH: Kementerian Pelajaran mengalu-alukan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah mengutip derma bagi mengumpul dana untuk tujuan aktiviti pelajar dengan syarat ia perlu mendapatkan kelulusan pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengarah JPN perlu memperhalusi sebab dan tujuan kutipan derma itu sebelum memberikan kelulusan.

“Kita mengalu-alukan apa juga inisiatif di bawah persatuan (PIBG) itu tetapi ia tertakluk kepada kelulusan pengarah JPN…perlu perhalusi permohonan itu,”katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek bantuan modal Sekolah Bantuan Kerajaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah JenisKebangsaan (SMJK) di SMJK Sam Tet di sini, Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah kerana ia sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan dermaseperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dansebagainya.

Wee berkata, pihak kementerian tidak pernah menghalang inisiatif PIBG bagi mengumpul dana contohnya bagi tujuan pembinaan gelanggang sukan yang lebih canggih dan moden serta program peningkatan akademik pelajarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan selesai mengagihkan bantuan modal kepada semua Sekolah Bantuan Kerajaan dalam tempoh sebulan mulai Ogos.

“Majoriti sekolah akan terima sebelum Aidilfitri, namun kerana kita akan bercuti hari raya ada negeri yang akan menerimanya selepas itu. Kita akan menjadualkan semula penyerahan bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran bantuan modal kepada SJKC, SJK Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Mubaligh adalah janji kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012.

“Kerajaan sangat komited untuk bidang pendidikan dan inilah janji kita yangsemuanya ditepati,” katanya.
Bagi negeri Perak bantuan modal sebanyak RM16.53 juta diagihkan kepada 96 buah SJKC dan 17 buah SMJK, katanya.

(Sumber : BERNAMA)

Koleksi Kertas Peperiksaan Percubaan UPSR 2012 Selaras Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur, Johor Darul Takzim dan Kedah Darul Aman

Adalah dimaklumkan bahawa Koleksi Kertas Peperiksaan Percubaan UPSR 2012 Selaras Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur, Johor Darul Takzim dan Kedah Darul Aman telah dimuat-naik ke web-site sekolah. Sila rujuk ke icon “Tahun 6″ di menu utama.

 

Sekolah cuti awal Aidilfitri

Surat Siaran Kementerian Pelajaran Malaysia berkenaan cuti berganti sempena Hari Raya Aidil Fitri 2012

Berita Harian : 3 Ogos 2012

Kementerian Pelajaran menetapkan Jumaat 17 Ogos depan sebagai cuti berganti sempena Aidilfitri untuk sekolah di negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad. Pihak sekolah dicadangkan menggantikan cuti berkenaan pada Sabtu 22 September.

Kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.

Surat siaran mengenainya yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufa‘at Tumin, sudah dihantar kepada semua Jabatan Pelajaran negeri kelmarin untuk tindakan lanjut.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, pula berkata cuti pada Jumaat itu untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri yang dijangka pada Ahad 19 Ogos.

Bercakap kepada BH semalam, beliau bagaimanapun berkata, kementerian tidak bercadang membenarkan cuti berganti pada 15 dan 16 Ogos seperti didesak beberapa pihak.

Beliau diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekolah diberikan cuti awal bagi memudahkan murid pulang kampung untuk berhari raya bersama keluarga. Mereka mengemukakan cadangan itu menerusi panggilan telefon dan laman Facebook BH.

NUTP anggap keputusan tepat

Dalam surat siaran Bilangan 25/2012 itu, kementerian tidak menyelaras cuti berganti Aidilfitri kerana perayaan diraikan dalam cuti pertengahan penggal kedua. Ini bermakna cuti ganti hanya untuk sekolah di negeri Kumpulan B, iaitu hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata kementerian membuat keputusan tepat memberi cuti ganti pada 17 Ogos.

Katanya, ini memudahkan orang ramai merancang program balik kampung tanpa perlu meredah kesesakan lalu lintas yang teruk berbanding menjelang perayaan.

Beliau berkata, ada keluarga sanggup memulakan perjalanan pada jam 11 malam walaupun ia tidak sesuai kerana penat dan mengantuk yang mendedahkan mereka kepada kemalangan jalan raya.

(Sumber : Berita Harian 3 Ogos 2012)